Sunday, January 11, 2009

Jenayah perang Israel

(RAKYAT Palestin memenuhi pusat bantuan PBB di kem pelarian Shati untuk mengambil makanan di Gaza, semalam)


PBB dakwa Tel Aviv langgar peraturan GENEVA
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mahu Israel disiasat atas tuduhan jenayah perang berhubung pengeboman sebuah rumah yang sesak dengan orang awam Palestin yang berlindung daripada bedilan tentera rejim Zionis berkenaan. Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Kemanusiaan, Navi Pillay, berkata pengeboman itu mempunyai unsur jenayah perang.
Kenyataan berkenaan menyusuli dakwaan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) bahawa Tel Aviv melanggar peraturan perang apabila gagal membantu mereka yang cedera dalam insiden yang sama.
Insiden terbabit berlaku Isnin lalu di Zeitoun, Bandaraya Gaza di mana tentera Israel yang memasuki daerah berkenaan mengetuk pintu rumah puak Samouni dan mengarahkan mereka keluar dan memasuki sebuah bangunan lain. Kira-kira 24 jam selepas arahan itu diberi bangunan yang sesak dengan ahli puak Samouni itu dibedil oleh tentera Israel, membunuh 30 orang.
Menurut ICRC, selepas pengeboman itu tentera Israel yang berada 90 meter dari bangunan yang dibedil itu langsung tidak membantu mereka yang cedera, termasuk kanak-kanak kecil. "Ada empat orang kanak-kanak kecil yang terlalu letih untuk berdiri selepas dibiarkan selama 48 jam cuba mengangkat ibu mereka yang sudah mati. "Mengikut peraturan perang, askar mempunyai tanggung jawab melayan dengan sempurna mereka yang cedera dalam pertempuran," kata ICRC.
Pillay pula memberitahu mesyuarat kecemasan Majlis Hak Kemanusiaan PBB di sini, kecederaan yang dialami penduduk awam Israel disebabkan bedilan roket Hamas memang tidak dapat diterima tetapi ia tidak menjadi alasan kepada sebarang kekejaman yang dilakukan tentera Israel dalam tindak balasnya.

Memberi reaksi kepada insiden Zeitoun itu, Pillay dalam temubual dengan Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) berkata kejadian di Bandaraya Gaza itu 'mempunyai semua elemen jenayah perang.' Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert, Khamis lalu menyifatkan resolusi Majlis Keselamatan yang mendesak gencatan senjata 'segera' sebagai 'tidak dapat dijalankan.' Dalam perkembangan berkaitan, sekutu kuat Israel, Amerika Syarikat, berkata ia bimbang mengenai krisis kemanusiaan di Gaza tetapi meletakkan kesalahan itu di bahu Hamas. "Ia memang krisis kemanusiaan. Ia zon perang dan keadaan amat sukar. Kami bimbang dengan keadaan yang membabitkan kematian orang tidak berdosa. Namun sekali lagi, keadaan ini disebabkan Hamas," kata jurucakap Rumah Putih, Scott Stanzel.
Setiausaha Negara Amerika, Condoleezza Rice, turut mempertahankan kezaliman Israel dan berkata 'sukar' bagi tentera Yahudi itu melindungi penduduk awam di Semenanjung Gaza kerana ia amat padat dan Hamas menggunakan orang awam sebagai perisai manusia. Sementara itu, Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr Jemilah Mahmood yang baru tiba dari Rafah, semalam berkata, tiga daripada 10 mangsa adalah kanak-kanak dan hanya kira-kira 200 pesakit dibenarkan menyeberangi sempadan Rafah untuk mendapat rawatan, yang 10 peratus daripada mereka cedera parah.
Beliau berharap siasatan bebas dilakukan terhadap pengeboman dua buah sekolah di kem pelarian Jabaliya dan sekolah rendah Asma di Gaza. "Seramai 21 pegawai perubatan turut terbunuh di Gaza dan 11 ambulans musnah sama sekali akibat serangan yang berlaku," katanya yang berada di Rafah selama 10 hari. Beliau berkata, Mercy sudah menghantar 45 tan bantuan perubatan bernilai AS$100,000 ke Gaza menggunakan lima trak minggu lalu. "Minggu depan, AS$100,000 lagi bantuan perubatan akan dihantar ke Gaza bersama empat ambulans lengkap alatan rawatan intensif. Selain itu, Mercy juga sudah menempah Bank Darah bergerak kerana kami tahu mereka benar-benar kekurangan stok darah," katanya.
Mercy menerima sumbangan berjumlah RM5.2 juta dan RM339,000 diterima daripada sumbangan orang ramai. Terbaru Petronas menyalurkan sumbangan bernilai AS$300,000 kepada rakyat Palestin menerusi Mercy.

No comments: