Empat tembakan peluru Katyusha kejutkan Israel
BAITULMAQDIS: Israel, yang memperhebatkan serangan di Semenanjung Gaza pada hari ke-13 semalam, dikejutkan dengan dua serangan roket dilancarkan dari selatan Lubnan menyebabkan dua penduduknya cedera.
Sekurang-kurangnya empat roket Katyusha disasarkan ke bandar peranginan Nahariya serta tiga lokasi lain di utara negara Yahudi itu tetapi pergerakan Hizbullah, Hamas dan Fatah menafikan bertanggungjawab melakukan serangan berkenaan.
"Tiga roket dilancarkan dari Lubnan ke kawasan Israel," kata jurucakap polis, Micky Rosenfeld yang mengakui dua penduduk bandar Nahariya cedera ringan.
Seorang jurucakap tentera Lubnan pula berkata, Israel bertindak balas dengan melancarkan lima hingga enam roket terhadap pihak yang dipercayai melakukan serangan itu.
Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di selatan Lubnan juga diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan pihak berkuasa melancarkan usaha mengenal pasti pihak yang melancarkan roket berkenaan.
Pada 2006, Israel dan Hizbullah saling berbalas serangan roket menyebabkan beribu-ribu penduduk Yahudi berlindung di kubu bawah tanah dan ramai penduduk Lubnan lari dari kediaman mereka akibat serangan udara rejim Yahudi.
Menteri Penerangan Lubnan, Tarek Mitri semalam bagaimanapun berkata, pergerakan Hizbullah sudah memberi jaminan tidak akan terbabit dalam kempen ketenteraan Israel di Gaza.
"Kami tidak ada alasan untuk menganggap pergerakan Hizbullah terbabit dalam serangan itu," katanya.
Jurucakap Hamas, Raafat Morra, pula berkata: "Hamas menggunakan tanah Palestin untuk berjuang dan tidak membabitkan orang asing."
Pegawai Fatah, Munir Makdah, juga meragui puak Palestin terbabit dalam serangan itu kerana sudah berjanji tidak akan menjadikan Lubnan sebagai tempat menyimpan senjata, malah senjata mereka juga dikawal pihak berkuasa Lubnan.
Dalam perkembangan lain, pesawat tentera dan kereta kebal Israel terus menggempur Gaza semalam ketika PBB membuat persiapan mengadakan perhimpunan khas untuk merangka resolusi bagi menamatkan keganasan rejim Zionis itu, yang setakat ini sudah mengorbankan lebih 700 penduduk Palestin.
Sidang khas itu berlangsung jam 5.30 petang semalam waktu New York (5.30 pagi ini waktu tempatan).
Di KUALA LUMPUR, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berharap Israel dikenakan sekatan bagi mengekangnya daripada terus melakukan keganasan terhadap penduduk Palestin di Semenanjung Gaza, sekali gus memaksanya menyelesaikan konflik itu di meja rundingan.
Perdana Menteri berharap, Sidang Khas PBB mesti mengeluarkan resolusi yang tegas bagi mengakhiri keganasan rejim Zionis itu.
"Dalam konteks ini, negara seluruh dunia perlu ikhlas meneliti kenapa sesuatu negara itu perlu dikenakan sekatan. Kekejaman Israel terhadap Palestin ini bukan saja salah dari segi moral, sebaliknya perlu ambil kira kekejaman yang mereka lakukan.
"Pada pendapat saya, berdasarkan keganasan terbaru yang dilakukan rejim Israel di Gaza, mereka memang wajar dikenakan sekatan," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Institut Diplomasi dan Hubungan Antarabangsa (IDFR).
Abdullah berkata, walaupun resolusi itu diluluskan, belum dapat dipastikan sama ada ia akan dipatuhi, lebih-lebih lagi jika Amerika Syarikat (AS) membiarkan Israel bermaharajalela, seperti yang dilakukan Presiden George W Bush sebelum ini.
Beliau berharap AS menghormati kehendak negara lain dan tidak akan menghalang resolusi itu diluluskan.
"Jika usul mengenai gencatan senjata diluluskan, Israel perlu dipastikan berundur dari Gaza dan bukan hanya mensyaratkan Hamas menghentikan serangan roket terhadap Israel seperti yang didakwa Tel Aviv sebagai punca serangan balasnya di Gaza.
"Israel sendiri mesti keluar dari bumi Gaza dan dengan itu baru gencatan senjata dapat dijayakan. Kita tidak mahu Gaza dipecahkan kepada dua wilayah. Saya berpegang kepada penyelesaian berasaskan dua negara yang mempunyai sempadan diiktiraf masyarakat antarabangsa," katanya.
Mengenai sesi khas di Parlimen Isnin bagi mengutuk keganasan Israel dan menggesa dilaksanakan gencatan senjata untuk menamatkan konflik itu, Abdullah berkata, beliau akan memulakan ucapan dan disokong timbalannya, Datuk Seri Najib Razak, disusuli ucapan ketua pembangkang sebelum Rais menggulung perbahasan.
Perdana Menteri turut mengambil kesempatan memaklumkan mengenai pelancaran semula Tabung Palestin dan derma yang disumbangkan ke tabung itu dikecualikan cukai. -AGENSI
No comments:
Post a Comment